Langkau ke kandungan utama

KEREDHAAN ALLAH MEMBERKATI

Blog masakan ozielys Isnin, 11 Januari 2016 CINTA KEPADA MANUSIA. Kedudukan Orang Cinta Mencintai kerana Allah Sesungguhnya terdapat banyak hadith Rasulullah SAW yang menerangkan kedudukan dan darjat dua manusia yang saling cinta mencintai kerana Allah. Hadis-hadis ini menggambarkan kedudukan mereka yang mulia dan tinggi yang telah disediakan oleh Allah di dalam SyurgaNya. Di antara hadis-hadis itu ialah yang menceritakan kisah tujuh golongan lelaki atau wanita yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungannya ketika mana tidak ada lagi naungan yang lain kecuali naungan Allah sahaja. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud & Ibnu Majah) Ini adalah dalil dan nas yang jelas menggolongkan dia sebagai orang yang berkasih sayang kerana Allah di kalangan tujuh orang yang baik lagi terpilih untuk dinaungi dibawah naungan-Nya di mana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala. Inilah penghormatan dan kemuliaan paling tinggi yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Di manakah lagi kita akan dapati kemuliaan yang seperti itu ??? Sesungguhnya kemulian ialah hak bagi kedua-dua orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T. Dimana pada hari tersebut (kiamat) Allah Taala Rabbul Izzah menyeru mereka dan mempersilakan mereka untuk menerima anugerah yang paling tinggi, iaitu pada hari berhimpunnya sekelian bani (anak) Adam di Padang Mahsyar yang maha luas itu. Di dalam hadis Qudsi yang bermaksud: "Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku" (Riwayat Muslim) Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda: "Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Shiddiqin dan Syuhada." (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim) Dalam Hadis Qudsi yang lain diriwayatkan oleh Ubadah As-Sahamit: "Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang cinta mencintai keranaKu. Kasih-sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang sering memperhubungkan tali silaturahim keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bernasihat keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling berziarah keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bantu membantu keranaKu. Orang yang cinta mencintai keranaKu berada di atas mimbar-mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Siddiqin dan Syuhada." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim, Qudha'i) Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnannya ganjaran yang akan mereka dapati kerana mereka berkasih sayang kerana Allah. Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hidup ini adalah hidup yang penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah. Tidak hairanlah kalau Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka didunia dalam mengatasi segala kesibukan dunia yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini. Memang orang sifatnya demikian sangat sukar didapati pada zaman ini, meskipun tidak dapat dinafikan mereka itu ada dalam masyarakat kita masa ini, tetapi terlalu sedikit sekali bilangannya. Mereka tidak semestinya datang dari kalangan saudara-mara, atau kaum kerabat sendiri. Tetapi kalau ada memang itulah yang paling baik sekali, supaya hubungan keluargaan itu menjadi lebih erat dan berpanjangan. Memang itu merupakan suatu nikmat, apabila ada seorang saudara sedarah sedaging mengambil berat terhadap saudaranya, masing-masing memberikan perhatian kepada yang lain dalam serba-serbinya di kehidupan ini. Yang anehnya, bila orang-orang seperti ini datangnya dari luar kaum kerabat, seperti teman rakan dan sahabat yang tiada hubungan darah di antara kita dengannya, tetapi hubungannya dengan kita dan pengambil-beratannya dengan diri kita justeru lebih teguh dan erat dari kaum kerabat sendiri. Itulah tandanya persaudaraannya kerana Allah Ta'ala, yang kerana ikhlasnya dalam persahabatannya itu, dia malah memandang kepada kita. Orang-orang yang semacam inilah yang sangat dikasihi oleh Allah Ta'ala, yang disebutkan dalam sabdanya di atas, bahawa 'Aku akan menaunginya nanti di Hari Kiamat di bawah naunganKu!', firman Allah Ta'ala. Bertuahlah siapa yang sudah mendapat taufiq daripada Allah untuk bersifat dengan sifat ini. Ini adalah kurnia luar biasa, sebab itulah balasannya juga adalah luar biasa. Kalau sudah dijanji Allah akan mendapat lindunganNya di Hari Kiamat, tentulah hidupnya di dunia ini akan dilindungi Allah pula, supaya dia berjalan di atas jalan yang diridhaiNya, tiada menyelewang dari jalanNya yang lurus. Berbahagialah orang ini, dan mudah-mudahan kita juga akan diberi Allah taufiqNya untuk menjadi orang yang seperti ini, Insya Allah Ta'ala. Marilah sama-kita renung seketika hadis-hadis Abu Hurairah (R.A) maksudnya: "Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabat) di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh malaikat memerhatikannya di atas jalannya. Maka tatkala dia sampai dia berkata : Engkau hendak ke mana ? Lelaki tersebut menjawab: Aku hendak menemui seorang saudara ku di kampung itu. Malaikat bertanya lagi " Adakah engkau telah berbudi kepadanya dan engkau mengharapkan balasannya?" Beliau menjawab " tidak, aku mencintainya kerana Allah" Maka malaikat itu berkata kepadanya "Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah. Dari kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman oleh Imam Habib Abdullah Haddad : 1) Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'ala. 2) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah. 3) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya pula ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah. 4) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya. 5) Ataupun orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang menerusinya ia bisa hidup senang-lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. 6) Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu bisa menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan serupa itu adalah persahabatan dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak kena-mengena dengan Allah. Persahabatan dan kecintaan serupa inilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat. Alangkah besarnya cinta yang sedemikian yang mengangkat manusia sampai ke darjat di mana Allah mencintai dan meredhainya. Didalam hadis yang lain Rasulullah SAW menegaskan bahawa sesungguhnya Mahabbah (berkasih sayang) antara orang beriman adalah syarat-syarat iman yang memasukkan penganutnya kedalam syurga. "Demi yang diriku di dalam genggamannya , kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu aku (nabi) tunjukkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya maka akan lahirlah kasih sayang? Sebarkan salam di antara kamu." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah) Sesungguhnya Rasulullah telah mengetahui dengan pandangan tarbiah yang diperolehi dari Allah, bahawasanya tidak ada sesuatu pun yang dapat mencabut hasad dengki dari dada, dan kekotoran jiwa kecuali persahabatan yang sejati. Satu nilai persahabatan yang tinggi yang menguasai kehidupan orang Islam yang dibangunkan atas dasar Mahabbah, nasihat menasihati, perpaduan, bebas dari segala tipu daya, hasad dengki, benci membenci dan sebagainya. Dengan kasih sayang yang gemilang inilah, Rasulullah telah membangunkan generasi Islam yang pertama, satu generasi yang telah menyampaikan langit kebumi (rahmat yang melimpah ruah) dan membina mahligai Islam di alam sejagat. Inilah dia kasih sayang dan perpaduan yang tiada siapa sudi menanamnya didalam hati kecuali Islam. Kasih sayang yang suci lagi kukuh dan cinta yang setia di antara mereka jualah yang akan menjayakan perjuangan mereka. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam." (Riwayat Muslim) Sesungguhnya orang Islam yang menghayati ajaran agamanya akan mempunyai hati dan perasaan yang sentiasa berkobar-kobar untuk mencintai saudara dan sahabatnya. Dia akan menghadapi mereka dengan sepenuh hati dan perasaannya. Inilah asas-asas yang menjadi faktor perpaduan untuk mencapai cinta dan redha Allah di Akhirat kelak. Fahamkanlah maksud Hadis ini baik-baik, moga-moga Allah merahmati anda! Dan membimbing anda ke jalan yang diridhaiNya, agar anda disayangiNya, serta diberikanNya balasan besar yang memang telah disediakanNya untuk siapa yang disayangiNya. Amin. Fatwa Saiyidina Umar r.a : “Orang yang bijaksana,tidaklah dia mahu mencari sahabat melainkan orang-orang yang panjang fikirannya, kuat agamanya, luas ilmunya, tinggi akhalaknya, lanjut akalnya, dan di waktu mudanya bergaul dengan orang-orang yang soleh. Barangsiapa yang melalaikan keteguhan percintaan dari sahabatnya, maka tidaklah dia akan merasai buah persaudaraan orang itu terhadapnya. Barangsiapa yang memutuskan persaudaraan sebab takut dikhianati, maka hiduplah dia dengan tidak bersaudara. Tidaklah ada kesenangan hati yang menyamai kesenangan bersahabat, dan tidaklah ada kedukaan yang melebihi kedukaan apabila putusnya persahabatan itu.” "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (At-Taubah:24) Ya Allah, jauhilah aku dari cinta panahan syaitan, berikanlah cintaku ini kepada seseorang yang sangat mencintaiMu...lapangkanlah hati ku ini dengan cintaMu yg sejati...sekiranya dia bukan Kau ciptakan buatku, maka Kau jauhkan lah dia dari pandanganku dan berikanlah aku kekuatan untuk terus bercinta denganMu. Doa Rasulullah s.a.w.: Ya Allah, kurniakalah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan Diriwayatkan dari Imam Khatib Al-Baghdadi ra (Abu Bakr ibn Ali bin Sabit ) dengan sanad yang sahih bahawa telah berkata Sufyan As- Sauri ra " Agama ini dibina dengan Asar -istinbat Al-Qur'an dan sunnah serta apa yang diriwayatkan dari para sahabat yang membawa kepada maksud syariah (Al-Qur'an & Sunnah)- dan bukanlah agama ini dibina dengan akal." 5 Bukti Si DIA cintakan Kita kerana Allah SWT !  Pepatah arab ada menyebut semua orang mengaku kekasih Laila tetapi Laila sendiri tidak mengakuinya. Ramai orang kerap kali terjatuh dalam perangkap cinta dan terpalit dengan noda dan fitnahnya apabila Si Dia, baik lelaki mahupun perempuan mengungkapkan kata-kata hikmat yang berbunyi “Aku cintakan diri-Mu kerana Allah !” Aduh ! Perkataan yang indah tetapi kerap disalah guna. Jika kaca yang dipegang maka akan pecah kerana jatuh terhempas, jika kita sedang berdiri akan segera ingin mencari tempat duduk dan jika kita tengah duduk akan segera mahu berdiri dan mencari udara segar guna memaksa oksigen masuk ke dalam tubuh kerana sesak dan berat di dada sehingga menyukarkan pernafasan. Jantung berdegub laju dan tangan menjadi sejuk. Itulah tanda-tanda awal virus cinta sudah mula berjangkit dan sedang menular ke dalam badan dan hanya akan dapat dilegakan dengan berdekatan dengan orang yang dicintai. Lalu apa yang harus dilakukan ? Pasrah dan menerima cinta kerana ianya adalah kerana Allah seperti yang diucapkan atau berhenti dahulu dan meneliti ucapan tersebut benarkah ia cinta dari Allah atau merupakan salah satu dari jerangkap samar syaitan ? Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6) Dalam Islam, kita disuruh memeriksa dan menilai apakah benar setiap sesuatu ucapan atau khabar yang disampaikan sebelum mengambil tindakan atau membuat keputusan. Hal ini disebut sebagai konsep “tabayun” atau bermaksud mencari penjelasan atau keterangan. Hal ini amatlah penting agar kita tidak ditipu atau terjebak dengan perangkap Iblis yang sedang menanti di hujung jalan untuk memancing kita ke dalam neraka bersama-sama dengannya. Sebelum membuat keputusan apakah akan diserahkan tubuh badan, hati dan perasaan maka lebih baiklah dilakukan usaha memeriksa dan menyemak terlebih dahulu benarkah kalimah itu diucapkan iaitu: Aku cinta kepada Mu kerana Allah SWT ! Cinta kerana Allah SWT itu mempunyai satu kedudukan yang istimewa kerana di dalam hadis Abu Hurairah ra menyebut katanya Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.”(Riwayat Muslim) Di dalam sebuah hadis yang lain, nabi salallahualaihiwassalam juga pernah bersabda : “Jika seseorang dari kamu mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahunya.” (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad serta Bukhari di dalam tarikhnya dengan makna yang sepertinya) Kita juga disunnahkan untuk membalas ucapan cinta itu dengan doa yang berbunyi : أحبك الله الذي أحببتني فيه Maksudnya : “Semoga Allah mencintai kamu yang telah mencintaiku keranaNya.” (riwayat Abu Daud) Hadis-hadis berkenaan cinta ini begitu banyak sebab Islam ialah agama yang menitik-beratkan persoalan kasih sayang dan kehormonian sesama Insan. Namun kita masih perlu menilai dan meneliti apakah cinta yang dihulurkan itu benar-benar madu dan rezeki daripada Allah SWT atau sebenarnya ialah racun dan umpan dari syaitan. Bukti Cinta kerana Allah Ada 5 bukti penting dan tanda utama yang dapat dikenal pada seseorang yang benar-benar mencintai kita kerana Allah SWT. Ini dapat dilihat dari hasil taddabur kita kepada ayat-ayat Al-Quran dan melalui penilaian kepada hadis-hadis nabawiyah. Pertama : 1. DIA adalah seorang yang amat mencintai Allah Adalah mustahil seseorang itu berkata dia mencintai kita kerana Allah SWT tetapi dalam masa yang sama dia amat jauh dari jalan Allah dan seringkali melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Cinta itu dibuktikan dengan perbuatan maka lelaki dan wanita yang mengatakan kepada anda bahawa dia mencintai kerana Allah juga akan membenci kerana Allah SWT dan membenci segala apa yang dimurkai oleh Allah SWT dari segala jenis dosa dan maksiat. Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Tiga perkara yang jika terdapat pada seseorang maka dia pasti akan merasai kemanisan Iman. Iaitu Dia mencintai Allah dan rasul-Nya lebih dari selainnya. Dia mencintai atau membenci sesuatu hanya kerana Allah dan dia amat membenci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia tidak suka dicampakkan ke dalam api.” (hadis riwayat Bukhari) Lihatlah pada diri lelaki yang mencintai anda kerana Allah itu apakah dia seorang yang teguh agamanya, kukuh aqidahnya, penyabar, kuat tawakkal, selalu mencintai anak yatim dan membela yang lemah atau dia sebenarnya seorang yang hanya pandai berborak sahaja. Lelaki yang soleh pasti akan kelihatan di masjid dan ketika ada orang yang berada dalam kesusahan maka disitulah dia akan dapat ditemukan. Perkara yang sama terjadi kepada kepada lelaki yang benar-benar mahu mengenali para wanita muslimah solehah itu. Ianya tidak hanya dengan sekadar ucapan di bibir atau pada teks sms dan copy paste di blog dan Fb si gadis. Lihatlah auratnya apakah ditutup, lihatlah peribadinya apakah terpelihara dan dijaga kemudian lihatlah pemikirannya apakah dia seorang Muslimah yang hidup untuk dirinya atau dia hidup untuk Allah SWT. Caranya tidak susah. Mana-mana muslimah yang hidup untuk Allah akan sanggup menerima poligami dan menghormati hak-hak lelaki yang Allah berikan kepada mereka . Si DIA akan tunduk serta patuh kepada hukum Allah dan lebih banyak bertolak ansur serta berusaha memahaminya dari berusaha mempertikaikannya. Jangan terleka dan tergoda oleh rupa dan pakaian kerana syaitan itu amat bijak dengan tipudaya dan jalan-jalan kesesatan. Kedua : 2. Cinta kerana Allah terbit dari sebab ketaatan Pasti ada sebab si DIA cintakan kita kerana Allah dan apakah sebab-sebab itu adalah terhasil dari kerana ketaatan kita kepada Allah SWT atau kerana kemaksiatan kita kepada-Nya ? Jika cinta yang diungkapkan itu adalah kerana ketaatan kita kepada Allah SWt maka ianya adalah jenis dari bahagian cinta-cinta yang suci dan datang atas kerana rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Ada wanita jatuh cinta kerana si lelaki itu kuat berdakwah dan menjadi Imam sukarela secara percuma. Ada lelaki terjatuh hati kerana melihat si wanita itu tegas dan teguh mempertahankan maruah dan auratnya dari dicabuli. Maka jenis-jenis cinta seperti itu memenuhi kehendak cinta yang dilakukan kerana Allah SWT. Tanyakan SI DIA kerana apakah kamu mencintai saya ? Jika jawapannya memenuhi jenis cinta yang berdasar dari ketaatan kepada Allah SWT maka ianya adalah dari Allah dan jika ianya berdasarkan dari sebab-sebab kejahatan dan kemaksiatan maka ianya dari syaitan. Ini dapat diketahui dengan mudah jika kita sendiri menyedari akan kesalahan yang telah kita lakukan. Misalnya jika wanita itu tidak menjaga auratnya, tidak memelihara dirinya dari fitnah seperti tampil di khalayak ramai dalam rancangan TV menjadi wanita pilihan dengan bertabarruj dan “berposing kiri dan kanan” memaparkan kecantikan maka jika datang lelaki menghulurkan cinta kerana tertarik dan jatuh hati atas kecantikan itu maka ianya bukanlah dari ketaatan bahkan kemaksiatan dan berpunca dari kedegilan kita dalam mentaati syariat Allah SWT. Wanita yang solehah tidak akan mendedahkan kecantikannya seperti lelaki yang bertaqwa tidak akan murah menampilkan kebaikan dirinya atau menunjuk-nunjuk kewarakan dan kesolehannya. Tanyalah diri anda, apakah dosa atau ketaatan yang telah dilakukan sehingga melayakkan diri ini menerima ungkapan AKU CINTA DIRMU KERANA ALLAH ! Ketiga : 3. Mencintainya kembali menambah kebaikan dan kemuliaan serta mendekatkan kita kepada Allah Orang-orang yang benar dalam cintaNya kepada Allah mereka ini mempunyai kelebihan dan merupakan orang-orang yang benar-benar beriman. Mencintai mereka itu nescaya akan memberikan kebaikan dan menambahkan kemuliaan serta menambahkan kedekatan kita dengan tuhan. Ini disebabkan di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Hurairah ra yang menyebutkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Jikalau Allah Ta’ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia pun memanggil Jibril lalu memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu (Wahai Jibril) si Fulan itu. Jibril pun lalu mencintainya, kemudian Jibril menyeru kepada seluruh penghuni langit seraya memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua (Wahai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Maka para penghuni langit pun kemudian mencintainya. Setelah itu dijadikan seluruh penghuni bumi pun ikut menerimanya (mencintainya).” (hadis Muttafaq alaih) Lihat dan perhatikanlah apakah di wajah orang yang mengatakan Aku cinta pada-Mu kerana Allah itu membuatkan anda teringat kepada ajaran Islam, kepatuhan kepada Allah SWT, kedahsyatan hari akhirat serta dosa dan pahala atau sebaliknya hanya mengundang kepada ingatan nafsu syahwat dan pelukan serta dakapan di atas tilam. Cinta yang suci tidak akan mampu dibakar oleh api sebaliknya ia hanya akan memadamkan api demikianlah cinta yang sejati tidak akan datang kerana syahwat tetapi ianya pasti akan mampu memenuhi keperluannya. Ke-empat: 4. Cinta dan hubungan dengan Si DIA jauh dan terpelihara dari kelalaian dan dosa Diantara ciri-ciri yang mustahak di dalam penilaian kebaikan seseorang ialah ianya tidak mengundang bahaya atau kemudharatan. Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda : “Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).”(hadis riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi) Ini kerana tipu daya dan muslihat syaitan itu amat licik. Terkadang dia sengaja memalsukan kejahatan itu agar dilihat sebagai kebaikan atau kemuliaan. Syaitan itu sendiri tahu untuk mengoda orang yang soleh itu tidak harus dengan maksiat dan kejahatan tetapi digoda dengan kebaikan dan kezuhudan agar si soleh itu menjadi sesat kerana riya’ atau ujub (kagum)dan ghurur (tertipu) dengan dirinya sendiri. Mujahid bin Abi Mu'ammar meriwayatkan bahawa suatu hari pernah ada seseorang yang memuji seorang pemimpin. Kemudian Miqdad ibnul-Aswad pun menaburkan tanah ke mukanya, lalu berkata:"Rasulullah memerintahkan kami untuk menaburkan tanah kemuka orang yang suka memuji."(riwayat Muslim) Imam Ibn Jauzi al-baghdadi dalam kitabnya Talbis Al-Iblis ada menyebutkan mengenai cara Iblis membelit ahli ibadah dan menjadikan mereka jauh daripada Allah melalui menampakkan kebaikan dan kelebihan diri mereka sehingga menjadi ujub dan kagum atau ibadah mereka lalu menjadi lalai kepada Allah dalam keadaan mereka menyangka bahawa mereka itu sedang beribadah. Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam :"Kamu tidak akan selamat hanya oleh amalanmu sahaja." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Apabila anda berhadapan dengan lelaki atau wanita yang mengucapkan kata-kata cinta yang suci menggunakan nama Allah SWT maka lihatlah apakah ianya membawa fitnah dan kelalaian atau memberikan manfaat kebaikan dan menjauhkan diri dari dosa. Ramai orang terkena belitan syaitan apabila terpedaya kononnya bercinta kerana Allah SWT namun apabila sudah ber“couple” dan bercinta semua larangan Allah dilanggarnya. Bertudung labuh dan berkopiah tetapi berdua-duaan ditempat yang tidak diredhai Allah kerana cinta dan perasaan akhirnya syariat Allah menjadi gadaian. Ada orang yang baik, lelaki muslim dan wanita yang muslimah pada asalnya mahu bercinta kerana Allah tetapi dipertengahan jalan mereka ditipu oleh syaitan. Akhirnya kerana sudah pun terlanjur berpegangan tangan, bercium dan melakukan maksiat ringan masing-masing berpendapat kita sudah tiada jalan kembali kecuali terus terjebak dalam hubungan haram ini. Allah itu maha pengasih dan pengampun, setiap kali terlanjur dan tersilap dalam perjalanan maka segeralah lakukan U-TURN sementara nyawa masih dikandung badan. Pintu taubat sentiasa terbuka dan segeralah rayu dan memohon keampunan daripada-Nya. Janganlah terpedaya oleh syaitan yang sentiasa merayu peluang kedua dari manusia agar sekali lagi melakukan dosa. Sekali lagi sahaja, Cuma sekali lagi katanya yang merayu supaya terus melakukan dosa lalu terperangkap di dalamnya. Kelima : 5. SI DIA tidak mengharapkan balasan kecuali dari Allah Cinta yang suci itu ialah cinta yang hanya tahu memberi tetapi tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan. Mereka ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Al-Insan : 9) Jika benar si DIA mencintai Mu kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya hubungan ini. Apakah dia menjadi milikmu atau kamu menjadi miliknya hal itu bukanlah isunya tetapi apakah Si DIA dan kamu masing-masing beroleh kasih sayang dan keampunan dari Yang Maha Esa. Sabda nabi salallahualaihiwassalam : “ Barangsiapa yang mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah serta memberi kerana Allah atau menghalang kerana Allah maka telah sempurnalah Imannya.” (hadis riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh Albani) Lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah SWT lebih takutkan Allah dan lebih mencintai Allah dari diri mereka sendiri dan secara pastinya mereka mencintai satu sama lain hanya semata-mata kerana hubungan masing-masing dengan Allah SWT. Lelaki yang beriman dan benar-benar mengasihi seorang gadis kerana Allah akan sentiasa mahu wanita itu terpelihara dari dosa dan mahukan kebaikan serta rahmat Allah SWT ke atasnya. Jika dia mahu mengahwini gadis itu maka hasratnya itu adalah kerana mahu melindunginya Wallahualam... Dicatat oleh oziey Oziey di 1:19 PG E-melkan Ini BlogThis! Kongsi ke Twitter Kongsi ke Facebook Kongsi ke Pinterest 1 ulasan: oziey Oziey11 Januari 2016 1:48 PG Asalamualaikum..share wit/iki/ilmu Allah for sharing is caring/kogsi kerana sayang kepada makhluk/Islam agama/mulia di sisi Allah wajjalla/info darimu untuk Ku dan semua/di abadika/blog ku syurgaku/tawadhok/tawakal-wallahualam/tq to Allah. Balas Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama Papar versi mudah alih Langgan: Catat Ulasan (Atom) Ozielys,asal kajang,sya Allah punya,cintai Allah mdpt keberkahan dn kmuliaan Foto saya oziey Oziey Lihat profil lengkap saya Arkib Blog ▼ 2016 (21) ► Disember (1) ► Julai (11) ▼ Januari (9) TAKDIR(QADHA DAN QADAR) Ilmu tasawuf yang benar pembersihan hati(persediaa... Ilmu tasawuf yang benar pembersihan hati(persediaa... Ilmu tasawuf yang benar pembersihan hati(persediaa... ZAMAN FITNAH AKHIR ZAMAN-ikutan dajjal si sosok na... CINTA KEPADA MANUSIA. MUHASABAH DIRI MEMBAWA KEBERUNTUNGAN. KEIKLASAN HATI KEPADA HATI MANUSIA KEPADA PECIPTA TAHUN BARU PENUH BERAZAM ► 2015 (17) Ozielys(ozijie-Lov.simple site.com). Tema Ringkas. Dikuasakan oleh Blogger.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENCARI JALAN YANG DIREDHAI ALLAH

AMALAN BUAT HIDUP BAHAGIA DAN  TENANG DENGAN BERIMAN DAN BERPEGANG TEGUHLAH KEPADA RUKUN ISLAM DAN RUKUN IMAN. BISMILLAH PEMBUKA BICARA DAN SELAWAT KEATAS NABI MUHAMMAD BESERTA KELUARGANYA...SEMOGA ALLAH MEMUDAHKAN URUSAN KITA SEMUA DI DUNIA DAN KE AKHIRAN KEHIDUPAN KITA.(SEMOGA MENDAPAT KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN)AMIN YA RABBAL ALAMIN... 1)MEMBACA ALQURAN 2)BEZIKIR DENGAN ZIKIR HARIAN. 3)SENTIASA MENGINGATI DOSA KELMARIN/DOSA DAN NIAT YANG TAK BETUL HENDAKLAH DI PERBETULKAN KENIATAN YANG TERZAHIR DARI KATAAN YANG TERLAFAZ DI MULUT DI DENGARI MANUSIA LAIN CONTOH BERJANJI BERMACAM PEKARA KEPADA SI PENUNTUT JANJI DAN TIDAK TERLAKSANAKAN KERANA FAKTOR AKAN SESUATU HAL(KENIATAN JANJI DI SAKSIKAN ALLAH). 4)ZIKIR ISTIGHFAR MEMOHON KEAMPUNAN DI LAFAZ (AKHLAK ZAHIR) KATAAN DAN (AKHLAK ZAHIR) KE HATI (HATI YANG HIDUP DENGAN MENGIGATI ALLAH)SETIAP DETIK DAN MASA TIDAK KIRA DALAM KEADAAN APA PUN TIDAK MELUPAKAN. 5)SOLAT 5WAKTU SEHARI SEMALAM(TIANG AGAMA).SELAIN DARI SOLAT SUNNAT.

MEMAKAI TUDUNG YANG DI SYARIATKAN DI DALAM ISLAM

Memakai Tudung Mengikut Syariat Islam.Menutup aurat dari pemakaian jilbab(tudung kepala adalah pakaian menutup (rambut adalah aurat)(jilid 1) Asalamualaikum.... Bismillah.... Kewajiban dalam alquran baik yang berupa perintah dan larangannya bukanlah pilihan,seperti hanya kewajiban menutupi aurat,ini juga bukan pilihan hidup,tetapi wajib keatas ummatnya yang masuk ke alam baligh dan bertagungjawab keatas dirinya sendiri tanpa ikutan dan paksaan dirinya hanyalah kerana perintahnya. ****Dalam Alquran ayat Al a'raf ayat 26 Allah Azzawajalla berfirman:- "Hai anak adam,sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu pakaian menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan,Dan pakaian takwa itu adalah yang paling baik.Yang demikian itu adalah sebagian tanda-tanda kekuasaan Allah.Mudah-mudahan mereka selalu ingat;" keterangan ayat:- pakaian takwa itu adalah yang mengikut akan perintahnya.# Memakai tudung yang disyariatkan didalam islam adalah yang dianjurkan didalam firmannya